Sewaktu mula masuk ke sebuah sekolah berasrama di Klang, ada diadakan satu sesi orientasi di sekolah. Taklimat orientasi ini dibuat di surau asrama blok B yang berada di tingkat 1. Selepas berakhir sesi taklimat tersebut, aku berdiri di koridor dan aku terpandang ke arah satu bilik di blok A aras 3 yang tertutup. Bilik itu adalah bilik bernombor 5. Ada seorang pelajar yang mengatakan bahawa bilik itu memang telah ditutup sejak tahun 80-an lagi kerana bilik itu sudah mempunyai ‘penghuni tetap’.
Masa itu, aku melihat tembok koridor di depan bilik itu kosong. Bilik sebelah-menyebelah dengan bilik kosong itu dan bilik yang lain-lain penuh dengan kasut sekolah yang dijemur. Daripada cerita yang aku dengar, sesiapa yang menjemur kasut jika termasuk walaupun sikit sahaja ke kawasan depan bilik kosong itu, esoknya kasut tu akan berada di atas bumbung kolah mandi yang terletak di tengah-tengah antara dua blok, iaitu blok A dan blok B. Patutlah aku tengok banyak je kasut buruk kat atas bumbung kolah itu.
Nak dijadikan cerita, ada seorang pelajar baru yang bernama Sarifah, dia tinggal di asrama blok C. Satu hari ketika dia lalu di depan dewan makan pada waktu petang, terdapat ibu bapa yang sedang tunggu anak dia kat dewan makan tersebut dan mereka meminta tolong Sarifah untuk panggilkan anak mereka yang bernama Aisyah di bilik A:3:5. Bilik itu terletak betul-betul di bawah bilik kosong yang ditutup itu.
Kebiasaannya, jika ada ibu bapa yang datang melawat pelajar, ada orang kat konti radio asrama yang akan buat pengumuman untuk memanggil pelajar-pelajar yang berkenaan. Tetapi pada petang itu, tidak ada orang yang bertugas di konti radio tersebut, jadi terpaksa Sarifah ini pergi panggil pelajar bernama Aisyah itu sendiri. Jadi dengan gigihnya Sarifah terus berlari naik tangga asrama blok A untuk memanggil si Aisyah. Untuk makluman pembaca setia kisahseram.com, tangga blok A ini terletak di antara bilik nombor 5 dan bilik nombor 6.
Ketika Sarifah berlari panjat tangga itu, entah macam-mana dia terlajak naik sampai ke tingkat 3. Sampai sahaja di tingkat 3, Sarifah terus menuju ke bilik yang berada di sebelah tangga iaitu bilik A:3:5 yang telah dikosongkan sejak dari tahun 89-an itu lagi. Pada fikiran Sarimah, dia berada di tingkat 2 asrama. Tetapi apa yang seramnya, pintu bilik kosong itu terbuka, pastu Sarimah nampak pelajar-pelajar perempuan yang berada di dalam bilik itu semuanya berkemban dan tengah menyikat rambut masing-masing.
Sarifah yang tidak berfikir apa-apa pada masa itu terus memberi salam dan bertanya, “Assalamualaikum, siapa Aisyah? Ibu bapa dia tengah tunggu kat depan makan di bawah.” Semua pelajar yang ada di dalam bilik itu memandang ke arah Sarifah, kemudian salah seorang daripada mereka menjawab, “Awak salah bilik, bilik dia di bawah”. Sarifah terus menjawab, “Oh, yeke? Maaf mengganggu, terima kasih”.
Tanpa membuang masa, dia terus turun ke bilik bawah dan memanggil pelajar yang sebenar turun. Apabila dia balik ke biliknya semula, dia mencerita pengalaman yang kononnya memalukan sambil gelak-gelak, tersalah bilik itu kepada kakak-kakak bilik dia. Ketika bercerita, apabila dia sebut sahaja bilik atas iaitu bilik A:3:5, semua kakak-kakak bilik dia terkejut. Sarifah yang tidak tahu cerita mengenai bilik kosong itu terpinga-pinga melihat reaksi daripada mereka
Kemudian barulah kakak-kakak bilik Sarifah membuka cerita tentang bilik kosong itu,Mereka menceritakan kepada Sarifah bahawa bilik itu sudah bertahun-tahun tidak digunakan dan ditutup. Alangkah terkejutnya Sarifah apabila mendapat tahu cerita mengenai bilik kosong di tingkat 3 itu. Patutlah dia tengok semua penghuni bilik itu sedang sikat rambut, rambut mereka pula panjang-panjang tapi dia tidak perasan pula sampai paras mana.
Malam itu juga Sarifah menelefon ibu bapanya dan meminta supaya mereka datang menjemputnya dari asrama. Tidak lama selepas itu, Sarifah terus berpindah keluar dari asrama. Sejak dari itu, Sarimah pergi ke sekolah berulang-alik dari rumahnya sahaja. Tidak lama selepas itu, kecoh satu sekolah dengan kisah bilik kosong itu. Sebenarnya, ‘benda’ dalam bilik itu tidak kacau sesiapa pun. Melainkan kalau lalu di depan bilik atau masuk ke dalam bilik tersebut. Disebabkan itulah bilik itu terpaksa dikunci.
Bilik kosong itu dikatakan berpenunggu selepas pelajar-pelajar yang menghuni bilik itu dulu bermain permainan spirit yang melampau. Apabila makhluk halus yang diseru itu datang, ia tidak mahu balik dan ingin terus tinggal di situ. Selepas itu bermacam-macam gangguan yang berlaku, katil-katil di dalam bilik itu digegar, ditarik dan macam-macam gangguan lain lagi. Seorang ustaz turut dipanggil untuk ‘membersihkan’ bilik tersebut, bermacam usaha yang dibuat seperti melaungkan azan di depan pintu bilik namun semuanya gagal. Makhluk halus itu katanya sangat degil dan tidak mahu berganjak dari situ. Ia sedikit pun tidak hairan dengan ustaz tersebut.
Akhirnya satu perjanjian terpaksa dibuat, pihak sekolah bersetuju bilik itu dikunci dan membiarkan makhlus halus itu tinggal di dalam bilik tersebut dengan syarat ia tidak mengganggu pelajar-pelajar di luar. Seram kan? Untuk diluar sana tolong lah jangan bermain panggil hantu dosa tau daripada kowg seru hantu baik kowg seru solat lagi bagus✌✌✌
Tiada ulasan:
Catat Ulasan